Sunday, August 24, 2008

Surah An-Naba' ( The Great News )


Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Tentang apakah mereka bertanya-tanya? (78:1)

Tentang berita yang besar, (berita kebangkitan manusia hidup semula menerima balasannya). (78:2)

Yang mereka (ragu-ragu dan) berselisihan mengenainya. (78:3)

Jangan! (Janganlah mereka bersikap demikian!) Mereka akan mengetahui (dengan yakin tentang kebenaran hari balasan itu). (78:4)

Sekali lagi jangan! (Janganlah mereka berselisihan!) Mereka akan mengetahui kelak (tentang apa yang akan menimpa mereka). (78:5)

(Mengapa kamu ragu-ragukan kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang telah mati?) Bukankah Kami telah menjadikan bumi (terbentang luas) sebagai hamparan? (78:6)

Dan gunung-ganang sebagai pancang pasaknya? (78:7)

Dan Kami telah menciptakan kamu berpasang-pasang? (78:8)

Dan Kami telah menjadikan tidur kamu untuk berehat? (78:9)

Dan Kami telah menjadikan malam (dengan gelapnya) sebagai pakaian (yang melindungi)? (78:10)

Dan Kami telah menjadikan siang (dengan cahaya terangnya) - masa untuk mencari rezeki? (78:11)

Dan Kami telah membina di atas kamu tujuh petala (langit) yang kuat kukuh? (78:12)

Dan Kami telah mengadakan matahari menjadi lampu yang terang-benderang cahayanya? (78:13)

Dan Kami telah menurunkan dari awan, air (hujan) yang mencurah-curah, - (78:14)

Untuk Kami mengeluarkan dengan air itu, biji-bijian dan tumbuh-tumbuhan, - (78:15)

Serta kebun-kebun yang subur bertaut-taut pokoknya? (78:16)

Sesungguhnya hari pemutusan hukum itu, adalah satu masa yang ditentukan, (78:17)

Iaitu masa ditiup sangkakala, lalu kamu (bangkit hidup) serta datang berpuak-puak (ke Padang Mahsyar); (78:18)

Dan (pada masa itu) langit dipecah belahkan sehingga tiap-tiap belahannya menjadi ibarat pintu yang terbuka luas, (78:19)

Dan gunung-ganang - setelah dihancurkan - diterbangkan ke angkasa, lalu menjadilah ia bayangan semata-mata seperti riak sinaran panas di padang pasir. (78:20)

Sesungguhnya neraka Jahannam adalah disediakan - (78:21)

Untuk orang-orang yang melampaui batas hukum Tuhan, sebagai tempat kembalinya. (78:22)

Mereka tinggal di dalamnya berkurun-kurun lamanya. (78:23)

Mereka tidak dapat merasai udara yang sejuk di dalamnya, dan tidak pula sebarang minuman - (78:24)

Kecuali air panas yang menggelegak, dan air danur yang mengalir, - (78:25)

Sebagai balasan yang sesuai (dengan amal mereka yang buruk). (78:26)

Kerana sesungguhnya mereka dahulu tidak menaruh ingatan terhadap hari hitungan amal, (78:27)

Dan mereka telah mendustakan dengan sesungguh-sungguhnya akan ayat-ayat keterangan Kami; (78:28)

Dan tiap-tiap sesuatu dari bawaan hidupnya, telah Kami hitung secara bertulis. (78:29)

(Setelah mereka masuk ke dalam neraka, dikatakan kepada mereka: "Oleh sebab kamu telah mendustakan ayat-ayat Kami) maka rasalah kamu (azab yang disediakan), kerana Kami tidak akan melakukan selain dari menambah berbagai azab kepada kamu". (78:30)

Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, disediakan Syurga tempat mereka beroleh apa yang mereka ingini. (78:31)

(Mereka akan beroleh) taman-taman bunga dan kebun-kebun buah-buahan, terutama anggur; (78:32)

Dan perawan-perawan yang sebaya umurnya; (78:33)

Serta piala atau gelas yang penuh dengan minuman; (78:34)

Mereka tidak mendengar di dalam Syurga itu perkataan yang sia-sia, dan tiada pula perkataan yang dusta; (78:35)

Sebagai balasan dari Tuhanmu, iaitu satu limpah kurnia yang dikira cukup (menurut yang dijanjikanNya), (78:36)

Tuhan yang mentadbirkan tujuh petala langit dan bumi serta apa yang ada di antara keduanya, Tuhan Yang Maha Pemurah, tidak ada sesiapapun diberi kuasa berkata-kata denganNya (untuk memohon pertimbangan tentang balasan atau pengurniaan itu); (78:37)

(Tambahan pula) pada masa Jibril dan malaikat-malaikat yang lain berdiri bersaf-saf (menunggu perintah Tuhan), tidak ada yang berani berkata-kata (memohon pertimbangan) melainkan yang telah diizinkan baginya oleh Tuhan Yang Maha Pemurah, serta ia berkata benar. (78:38)

Itulah keterangan-keterangan mengenai hari (kiamat) yang sungguh tetap berlakunya; maka sesiapa yang mahukan kebaikan dirinya, dapatlah ia mengambil jalan dan cara kembali kepada Tuhannya (dengan iman dan amal yang soleh)! (78:39)

Sesungguhnya (dengan keterangan-keterangan yang tersebut), Kami memberi amaran kepada kamu mengenai azab yang dekat (masa datangnya), - iaitu hari seseorang melihat apa yang telah diusahakannya; dan orang yang kafir akan berkata (pada hari itu): "Alangkah baiknya kalau aku menjadi tanah (supaya aku tidak dibangkitkan untuk dihitung amalku dan menerima balasan)". (78:40)

Friday, August 22, 2008

Fadhilat Ramadhan

Hadis 1

Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Umatku telah dikurniakan dengan lima perkara yang istimewa yang belum pernah diberikan kepada sesiapa pun sebelum mereka. Bau mulut daripada seorang Islam yang berpuasa adalah terlebih harum di sisi Allah daripada bau haruman kasturi. Ikan-ikan di lautan memohon istighfar (keampunan) ke atas mereka sehinggalah mereka berbuka puasa".
Allah mempersiapkan serta menghiasi jannah yang khas setiap hari dan kemudian berfirman kepadanya: "Masanya telah hampir tiba bilamana hamba-hambaKu yang taat akan meninggalkan segala halangan-halangan yang besar (di dunia) dan akan mendatangimu."
Pada bulan ini syaitan-syaitan yang durjana dirantaikan supaya tidak menggoda mereka ke arah maksiat-maksiat yang biasa mereka lakukan pada bulan-bulan selain Ramadhan. Pada malam terakhir Ramadhan (orang-orang yang berpuasa ini) akan diampunkan." Maka sahabat-sahabat Rasulullah SAW pun bertanya: "Wahai Pesuruh Allah, adakah itu malam lailatul Qadar?" Dijawab oleh Rasulullah SAW: "Tidak, tetapi selayaknya seorang yang beramal itu diberi balasan setelah menyempurnakan tugasnya."

Hadis 2

Ubadah Bin Somit ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda pada suatu hari ketika Ramadhan hampir menjelang: "Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, di mana Allah melimpah ruahkan di dalamnya dengan keberkatan, menurunkan rahmat, mengampuni dosa-dosa kamu, memakbulkan doa-doa kamu, melihat di atas perlumbaan kamu untuk memperolehi kebaikan yang besar dan berbangga mengenaimu di hadapan malaikat-malaikat. Maka tunjukkanlah kepada Allah Taala kebaikan dari kamu. Sesungguhnya orang yang bernasib malang ialah dia yang dinafikan daripada rahmat Allah pada bulan ini."

Hadis 3

Abu Sa'id Al Khudri ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Setiap hari siang dan malam pada bulan Ramadhan, Allah Tabaraka wa Taala membebaskan begitu banyak sekali roh daripada api neraka. Dan pada setiap orang Islam pada setiap hari siang dan malam doanya pasti akan diterima."

Hadis 4

Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Terdapat tiga jenis orang yang doa mereka tidak ditolak; doa daripada orang yang berpuasa sehinggalah dia berbuka puasa; imam (penguasa) yang adil, dan orang yang dizalimi yang kerana doanya itu Allah mengangkatnya melepasi awan dan membuka untuknya pintu-pintu langit dan Allah berfirman: "Daku bersumpah demi kemuliaanKu, sesungguhnya Daku pasti menolongmu walaupun pada suatu masa nanti."

Hadis 5

Ibn Umar ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya mengirim rahmat ke atas mereka yang memakan sahur."

Hadis 6

Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa berbuka satu hari di siang hari bulan Ramadhan tanpa alasan yang wajar (disegi syariah) atau sakit yang kuat, tidak akan dapat menampung atau mengganti hari tersebut walaupun akan berpuasa sehingga ke akhir hayatnya."

PUASA

" Wahai orang-orang yang beriman, telah wajib ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semuga kamu menjadi orang yang bertakwa."
Surah Al Baqarah, Ayat 183

Ditegaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya yang diriwayatkan oleh Ahmad, An- Nasa'i dan Al Baihaqi dari Abu Hurairah, yang bermaksud:

"Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadhan bulan yang penuh berkat. Allah telah fardhukan ke atas kamu berpuasa padanya. Sepanjang bulan Ramadhan itu dibuka segala pintu Syurga dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan......."

PENGERTIAN PUASA
Puasa ertinya menahan diri dari makan dan minum dan dari segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai terbit fajar hinggalah terbenam matahari.

PUASA WAJIB
Puasa bulan Ramadan, puasa kifarat dan puasa nazar.

PUASA SUNAT
Puasa enam hari pada bulan Syawal
Puasa hari Arafah
Puasa Hari Asyura pada 10 Muharam
Puasa bulan Syaaban
Puasa Isnin dan Khamis
Puasa tengah bulan iaitu 13,14,15 pada tiap-tiap bulan qamaria (tahun Hijrah)

PUASA MAKRUH
Puasa yang terus menerus sepanjang masa
Tidak termasuk dua hari raya dan hari tasyriq

PUASA HARAM
Puasa pada hari raya pertama Idil Fitri
Puasa pada hari raya pertama Haji
Puasa tiga hari sesudah hari raya haji atau hari tasyriq iaitu pada 11,12, dan 13 Zulhijjah.

SYARAT WAJIB PUASA
Berakal
Akhir Baligh (Cukup umur)
Kuat atau mampu mengerjakan puasa

SYARAT SAH PUASA
Islam
Mumayyiz (dapat membezakan yang baik dan buruk)
Suci daripada haid dan nifas
Dalam waktu yang dibolehkan berpuasa.

RUKUN PUASA
Berniat - Pada malam selama bulan Ramadhan hendaklah berniat di dalam hati bahawa kita akan mengerjakan puasa pada hari esok.
Menahan diri daripada segala yang membatalkan semenjak terbit fajar sampai terbenam matahari.

PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA
Makan dan minum dengan sengaja
Muntah dengan sengaja
Bersetubuh tanpa keluar mani pada siang hari bulan Ramadhan
Keluar darah haid atau nifas
Gila
Keluar mani akibat bersetubuh dengan perempuan. Tetapi keluar mani kerana bermimpi tidak membatalkan puasa.

ORANG YANG DIIZINKAN BERBUKA ATAU TIDAK BERPUASA
Orang yang sakit
Orang yang dalam perjalanan jarak jauh melebihi 52 batu atau 80.64 km.
Orang tua yang sudah lemah
Orang yang hamil dan orang yang menyusukan anak.

Tuesday, August 5, 2008

Ayat Al-Kursi

Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia

Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya)

Yang tidak mengantuk usahkan tidur

Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi

Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya

Yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka

Sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya)

Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi

Dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya

Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya)

Lagi Maha Besar (kekuasaanNya) (2:255)

KLClock

Kuala Lumpur

Followers

Laman Chat


ShoutMix chat widget

Meta

Search This Blog