Tidak Terbalas Jasa Ibu
Pada zaman dahulu, ada seorang pemuda dari Yaman bertawaf mengelilingi Kaabah sambil menggendong ibunya.
Pemuda itu merasakan usahanya menggendong ibunya mengelilingi Kaabah dapat membalas jasa ibunya melahirkannya ke dunia.
Pemuda itu bertemu dengan Ibnu Umar r.a lalu bertanya,
“ Apakah aku sudah membalas jasa ibuku? ”
Ibnu Umar r.a menjawab, “ Belum…” Ibnu Umar r.a menambah lagi, “ Belum terbalas jasa ibumu pada kamu walaupun hanya dengan satu tarikan nafas ketika melahirkan kamu. Semua usaha dan keletihan kamu menggendong ibu kamu tidak sama sekali dan tidak sebanding dengan pengorbanan dan kesakitan yang dideritai oleh ibu kamu ketika melahirkan kamu.”
Berkali-kali Ditipu
Pada zaman dahulu, ada seorang lelaki sedang dalam perjalanan pulang ke kampung halamannya. Dia berjalan dengan menuntun seekor kambing di belakangnya.
Seorang pencuri mengekori lelaki itu sambil terendap-endap. Kemudian, dia memutuskan tali kekang lalu mencuri kambing lelaki itu.
Tidak lama kemudian, lelaki itu menyedari bahawa kambing telah hilang. Lelaki itu berlari ke sana ke mari untuk mencari kambingnya. Dia berasa sangat panik dan susah hati.
Lelaki itu tiba di sebuah perigi. Di tepi perigi itu, lelaki itu terlihat pencuri kambingnya. Lelaki itu tidak tahu bahawa orang itu yang mencuri kambingnya.
Lelaki itu bertanya kepada pencuri itu, “ Adakah kamu terlihat seekor kambing di sekitar kawasan ini?”
Pencuri itu tidak menjawab pertanyaan lelaki itu. Sebaliknya, dia pura-pura menangis sambil duduk bersimpuh di tepi perigi.
Lelaki itu kehairanan lalu bertanya, “ Mengapakah kamu menangis?”
“Dompet aku terjatuh ke dalam perigi ketika menimba air. Kalau kamu dapat membantu aku mengambilnya, aku akan berikan seperlima wang yang ada dalam dompet itu kepada kamu,” kata pencuri itu.
“Wah, ganjaran menolongnya sangat lumayan! Wang itu sudah cukup untuk membeli lebih dari sepuluh kambing,” fikir lelaki itu dalam hatinya.
Lelaki itu segera membuka pakaiannya lalu terjun ke dasar perigi. Lelaki tercari-cari dompet yang dikatakan terjatuh ke dalam perigi itu. Sudah pasti, dia tidak menemui apa-apa di dasar perigi itu.
Pencuri yang mencuri kambing dan menipunya itu telah melarikan diri bersama pakaiannya.
Begitulah kisah lelaki yang berkali-kali tertipu akibat satu musibah.
Oleh sebab satu musibah yang menimpa telah membuat kita menjadi risau. Maka, musibah-musibah lain datang menimpa akibat tipu daya syaitan yang mudah menghasut hati yang tidak reda dan berserah kepada Allah. Marilah memohon pertolongan daripada Allah dan minta dijauhkan daripada tipu daya syaitan yang direjam. Amin.